Tampil Dengan Haruman Selebriti
// July 8th, 2009 // No Comments » // Artikel
TERUJA dengan bauan haruman selebriti terkenal? Peminat fanatik bukan hanya mahukan penampilan sehebat selebriti pujaan bahkan pewangi digunakan golongan ternama itu turut menjadi intipan.
Selebriti wanita daripada Mariah Carey, Britney Spears, Jeniffer Lopez, Paris Hilton, Sarah Jessica Parker, Kate Moss, Kylie Minoque hingga Elizabeth Taylor, menjadi sebahagian ikutan golongan hawa.
Tidak terkecuali golongan lelaki, nama sehebat David Beckham, Sean John, Enrique Iglesias, Michael Jordan, Ewan McGregor, Andre Agassi dan Antonio Banderas, turut mencipta kelompok peminat tersendiri.
Inspirasi daripada selebriti ternama mencetuskan daya tersendiri dalam rumusan pewangi One Drop Sdn Bhd bagi kumpulan sasaran untuk muncul sehebat mereka.
Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Nurliana Rosli, tidak hairan inspirasi pati minyak wangi tanpa alkohol daripada One Drop Perfumes dikenali sebagai Egyption Potion Celebrities, semakin mendapat tempat di kalangan penggemarnya.
“Kami perkenalkan ‘istimewa selebriti’ buat golongan wanita dan lelaki yang didatangkan dalam kotak pic lembut.
“Untuk lelaki, ia hadir dalam kotak warna perak dengan memuatkan lapan pati minyak wangi dengan kesegaran bauan mengikut kesukaan masing-masing.
“Memandangkan masyarakat menggemari sesuatu yang dicetuskan artis, syarikat memanipulasi sesuatu yang bernilai dan ternyata ia berbaloi,” katanya.
Pengarah Urusan One Drop Sdn Bhd, Josafri Johari, berkata permintaan melonjak tahun lalu membuatkan syarikatnya mengorak langkah ke arah global dengan membangunkan pejabat pemasarannya di London pada akhir tahun lalu.
Sebagai pencetus terbaru dalam dunia wangian, One Drop sebelum ini melancarkan pelbagai jenis wangian dihasilkan daripada rumusan 48 jenama antarabangsa terkenal seperti Calvin Klein, Chanel, Hugo Boss, Dolce & Gabanna, Ralph Lauren dan Estee Lauder.
Menurut Nurliana, syarikatnya dilihat sebagai pesaing terbaru dalam dunia perniagaan berasaskan pewangi tanpa titisan alkohol bahkan ia menjimatkan untuk mereka yang mahukan sesuatu yang menarik tetapi bersifat ekonomi.
“Ia boleh digunakan untuk tujuan solat menyebabkannya cepat popular. Apa yang kami lakukan adalah yang terbaik buat semua golongan kerana kami mengambil kira banyak aspek demi kepentingan ramai,” katanya.



